Gangguan bekalan air jejas penghuni rumah kebajikan - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air jejas penghuni rumah kebajikan

PENGHUNI Rumah Titian Ashraful Rohaniah yang terjejas berikutan gangguan bekalan air yang berlaku di Teluk Intan, Perak sejak minggu lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penghuni Rumah Titian Ashraful Rohaniah di Jalan Changkat Jong di sini terjejas berikutan gangguan bekalan air yang berlaku sejak minggu lalu.

Rumah kebajikan yang mempunyai 95 orang penghuni yang terdiri daripada warga tua, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang terbiar itu kini berhadapan dengan kesulitan dalam menjalankan aktiviti ha­rian akibat kekurangan air.

Menurut penjaga rumah tersebut, Rohana Saidin, gangguan bekalan air yang dialami memberikan impak yang besar kepada rutin harian penghuni.

“Sejak beberapa hari lalu, keadaan semakin teruk apabila bekalan air hampir habis. Kami terpaksa berjimat-cermat de­ngan menggunakan air yang ada untuk keperluan 95 orang peng­huni,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, penghuni rumah kebajikan yang berusia lanjut dan kurang berupaya turut mengalami kesulitan dalam menjaga kebersihan diri, terutama apabila berhadapan dengan masalah tandas yang memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Tidak semua penghuni di sini memahami keperluan menggunakan tandas dengan betul jadi kami memerlukan perhatian dan bantuan lebih daripada pihak berkuasa untuk memastikan bekalan air yang cukup.

“Kami berharap LAP (Lembaga Air Perak) dapat menempatkan lori tangki air di sini untuk kegunaan penghuni rumah kebajikan ini,” katanya.

Sebelum ini, Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, gangguan bekalan air yang berlaku sejak minggu lalu melibatkan kira-kira 50,000 akaun pengguna LAP di Tapah, Bidor dan Teluk Intan.

Bagi kawasan Hilir Perak me­libatkan Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.

Mohammad Nizar berkata, gangguan bekalan air dijadualkan pulih berperingkat mulai Selasa lalu berikutan kerja-kerja pembaikan paip bocor di Tapah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya