Gabungan puisi dan kopi pertama kali di Perlis tarik perhatian - Utusan Malaysia

Gabungan puisi dan kopi pertama kali di Perlis tarik perhatian

ANTARA penyair mendeklamasikan puisi dalam program Angin Timur: Puisi dan Kopi yang berlangsung di Taman Awam Lencongan 2, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menikmati kopi dan ubi rebus dalam suasana malam dengan tiupan angin timur mendamaikan sambil menghayati deklamasi puisi dan sajak oleh penyair tempatan.

Gabungan dua elemen tersebut menarik perhatian ramai yang menghadiri program Angin Timur: Puisi dan Kopi yang berlangsung di Taman Awam Lencongan 2 di sini, malam tadi,

Acara tersebut yang dianjurkan Persatuan Penulis Perlis dan Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka itu menampilkan ramai penyair seperti Ladin Nuawi; Abang Padeli Abang Muhi; Dr. Hanafi Ibrahim, Dr. Salleh Rahmat, Zakaria Ariffin dan Ahmad Ramli.

Manakala penyair dari negeri ini melibatkan Basri Ramli, Sharif Shaari, Amir Sanusi Mat Desa, Bibi Baharom, Aswady Mohamed, Zalina Ahmad, Dr. Ruziah Ramli dan Subri Bahari.

Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis, Prof. Dr. Nor Hasimah Ismail berkata, program kopi dan puisi yang mengabungkan dua elemen tersebut merupakan pertama kali diadakan di Perlis.

Katanya, uniknya program tersebut, orang ramai dapat menikmati kopi dan hidangan seperti ubi rebus dan pelbagai lagi makanan tradisional lain sambil menghayati deklamasi puisi.

“Selain deklamasi puisi dan sajak, program ini juga diserikan dengan persembahan nyanyian. Ramai juga penyair-penyair dari Perlis yang datang dan berkumpul bersama-sama dalam menyerikan program tersebut.

“Kita mencipta sedikit kelainan dengan orang ramai yang datang menikmati kopi secara santai sambil menghayati puisi. Ia membezakan dengan acara seperti itu di tempat lain.

“Selain itu, aktiviti seperti ini juga membantu memartabatkan sastera ini. Program ini juga mendapat sambutan memberansangkan dari rakyat negeri,” katanya,

Program itu disempurnakan oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Roziah Md. Yunus yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor Hasimah yang turut mendeklamasikan puisi pada program berkenaan berkata, aktiviti seperti ini juga menarik minat golongan muda yang turut sama menyertai deklamasi puisi tersebut.

“Dapat kita lihat gabungan orang muda dan lama dalam usaha memartabatkan sastera ini. Selain itu, kita juga membudayakan aktiviti seperti ini di kawasan pekan lama Kangar ini.

“Insya-Allah aktiviti seperti ini akan diadakan secara berterusan dan mungkin di lokasi-lokasi menarik lain sekitar negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN