GEORGE TOWN: Seramai 131 pesawah di Pulau Pinang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menerima bantuan daripada kerajaan negeri menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM239,832 bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, bantuan itu disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pesawah terlibat.
“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib yang menimpa golongan pesawah terutamanya mereka yang terjejas akibat banjir ini.
“Oleh itu, sebagai usaha membantu meringankan beban yang ditanggung, kerajaan telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM239,832 melalui LPP kepada 131 pesawah yang terjejas akibat bencana ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan TBTP Pulau Pinang di sini, semalam.
Menurut Fahmi, sawah yang terjejas melibatkan kawasan seluas 140.8 hektar merangkumi sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Musibah banjir ini telah menjejaskan sumber pendapatan para pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tuaian mereka.
“Kawasan terjejas banjir juga melibatkan satu jumlah yang besar dan ini memerlukan perhatian serta sokongan daripada semua pihak bagi memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya.
FAHMI Zainol (depan, tengah) menyampaikan bantuan kepada para pesawah pada Majlis Penyerahan Bantuan TBTP Pulau Pinang di Kepala Batas, Pulau Pinang. – UTUSAN