KUANTAN: Keadaan Tasik Paya Bungor di sini yang 20 tahun terbiar dan tidak dipedulikan perlu ditamatkan kerana kawasan itu masih berpotensi dibangunkan sebagai destinasi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa berasaskan alam semulajadi serta aktiviti sukan air.
Tasik berkenaan pernah menjadi kawasan rekreasi yang popular sehingga menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Malah acara sukan air seperti berkayak dan lumba bot bagi Sukan Malaysia (Sukma) 1996 yang mana Pahang tuan rumahnya ketika itu, diadakan di situ. Bagaimanapun, selepas acara sukan itu, kawasan tersebut tinggal terbiar dan tidak terurus lagi.
SETANDING TASIK CHINI DAN TASIK BERA
Presiden Persatuan Sahabat 60-an Pahang, Kamaruzaman Hassan berkata, kerajaan negeri perlu segera memulihkan Tasik Paya Bungor kerana potensi dan keindahannya setanding Tasik Chini dan Tasik Bera sebagai tarikan pelancong.
“Sedihnya tasik itu kini terbiar dan tidak dipedulikan menyebabkan pelbagai kemudahan penginapan serta infrastruktur yang disediakan untuk pengunjung seperti chalet dan deretan kedai makan, menjadi belukar dan ‘taman hutan’.
“Projek seperti Pusat Latihan Dron di Tasik Paya Bungor yang bermula pada 8 November 2021 dan sepatutnya siap pada 10 Januari 2022 patut disambung sebagai daya tarikan baharu di tasik berkenaan.
“Lokasinya yang strategik iaitu pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) boleh menyusur keluar dari Tol Maran atau Sri Jaya untuk ke tasik semula jadi ini. Pengunjung selepas itu boleh sahaja terus ke Kuantan atau Temerloh selepas bersantai di Tasik Paya Bungor,” katanya.
SESUAI LOKASI SUKAN AIR
Sementara itu, Ketua Penerangan Kayak Fishing Pahang, Azhari Japli, 36, berkata, Tasik Paya Bungor sesuai dibangunkan sebagai lokasi sukan air seperti berkayak, lumba perahu dan pertandingan memancing peringkat nasional.
“Bagi kaki pancing, Tasik Paya Bungor tempatnya kerana masih banyak ikan membiak di sini seperti lampam, keli, toman, haruan, tapah dan lain-lain.
“Aliran tasik yang tenang kita boleh menggunakan kayak untuk memancing di mana-mana sudut tasik banyak ikan. Memancing di sini satu kepuasan kerana suasananya tenang,” katanya.
PROJEK TERNAKAN IKAN SANGKAR
Ketua Kampung Paya Bungor, Shamsuddin Ahmad, 63, pula berkata, setelah projek pelancongan di tasik semulajadi itu gagal, kerajaan negeri dan Pusat bersetuju mengubah landskap Tasik Paya Bungor kepada industri ternakan ikan sangkar seperti patin, tilapia, keli, kelah dan lampam.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 60 sangkar diusahakan 15 peserta
“Peserta nelayan sungai membabitkan penduduk dari Kampung Paya Bungor, Kampung Paya Rambutan dan Kampung Gelugor komited membangunkan tasik ini sebagai pusat ternakan ikan air tawar,” katanya.
Beliau menggesa Jabatan Perikanan Pahang, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains negeri membuat kajian tentang kesesuaian air Tasik Paya Bungor untuk ternakan ikan kerana terdapat laporan ikan ternakan mati.
“Ini kerana beberapa anak sungai seperti Sungai Paya Bungor kanan, Sungai Paya Bungor kiri, Sungai Sasak, Sungai Berkapur dan Sungai Paya Rambutan tercemar dengan aliran air lombong dan kilang sawit. Malah ada tasik berhampiran kilang sawit sudah menjadi ‘tasik mati’.
“Penduduk begitu berharap agar Tasik Paya Bungor bebas pencemaran air supaya pelbagai spesies ikan asal dan tumbuhan dapat hidup sebagai sumber protein dan khazanah kepada generasi akan datang,” katanya.
Pengusaha ikan sangkar, Muhamad Noran Mat Ali, 58, pula berkata, industri ternakan ikan dalam sangkar cukup sesuai diusahakan secara giat bagi memanfaatkan tasik daripada terbiar.
FIESTA MEDIA IDOLA
Beliau juga bersetuju potensi Tasik Paya Bungor dipelbagaikan ekoran lokasi dan keistimewaan yang unik kerana sejarah membuktikan tasik ini pernah menghimpunkan 100 artis dan personaliti tanah air dalam Fiesta Media Idola 2005 (FMI’05)anjuran Kelab Sukan Shahzan Muda yang dinaungi Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang menjadikan Tasik Paya Bungor sebagai lokasi program.
Sementara itu, Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Mohd. Arif Talib mengakui Tasik Paya Bungor pernah mengecapi kegemilangan lebih 30 tahun lalu yang menjadi lokasi pilihan aktiviti kokurikulum sekolah dan pelancong menikmati keindahan alam serta flora dan fauna di situ.
“Malah DPMP kerap kali mengadakan sayembara puisi di pinggir Tasik Paya Bungor kerana kemudahan di kawasan itu lengkap dan tiada masalah penginapan yang disediakan pihak berkuasa pada masa itu,” katanya.
CERITA MISTERI
Penyelidik budaya dan lagu rakyat Pahang, Datuk Dr. Aripin Said mengakui kajiannya mendapati memang terdapat cerita misteri berkaitan makhluk halus orang bunian mendiami tasik ini sejak zaman berzaman.
“Orang tua-tua dulu bercerita sering terserempak makhluk ini dari bukit berdekatan menuju tasik tersebut. Malah diceritakan pada waktu terang bulan setiap 14 purnama di tengah-tengah tasik bagaikan ada cahaya berkelipan.
“Mitos penduduk tempatan di sinilah bersemayamnya Puteri Bunian dikenali Puteri Walinong Sari yang menteranya dijadikan lagu popular yang dinyanyikan ramai penyanyi tersohor seperti Datin Rafeah Buang dan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
“Di Kampung Paya Bungor ini juga wujud tarian ulik mayang yang ada kaitan dengan misteri itu yang menjadi hiburan rakyat tempatan ketika itu,” katanya yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor akhir tahun 1970-an,” katanya.-UTUSAN.