Tokong 600 tahun tumpuan sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Tokong 600 tahun tumpuan sempena Tahun Baharu Cina

FOO Mei Lin menghias Tokong Swee Nyet Keung bagi menyambut Tahun Baharu Cina di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tokong Swee Nyet Keung berusia hampir 600 tahun di Kampung Pulai di sini, dijangka menjadi tumpuan ribuan penganut Buddha dari luar dan dalam negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Rabu ini.

Pengerusi Unit Keceriaannya, Foo Mei Lin berkata, sebanyak RM15,000 hasil sumbangan orang ramai digunakan untuk menghias rumah ibadat yang tertua di negara ini secara bergotong-royong sejak sebulan lalu.

“Pelbagai hiasan dipamerkan untuk menyambut kedatangan pengunjung seperti tanglung, tulisan kaligrafi, pokok limau, hiasan dan bunga-bungaan.

“Setiap hiasan yang dipamerkan sempena menyambut kedatangan tahun ular adalah membawa maksud simbol kebaikan. Setakat ini lebih 500 tanglung berwarna merah yang merupakan simbol kepada tuah dan nasib baik telah digantung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mei Lin menganggarkan lebih 1,000 pengunjung bakal memeriahkan aktiviti keagamaan di tokong itu pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina sekiranya cuaca baik.

“Tokong Swee Nyet Keung merupakan penempatan asal masyarakat Cina pertama yang menetap di negeri Kelantan bermula pada 1426.

“Lembaga Warisan Negeri Kelantan juga telah mengiktiraf tokong ini sebagai tempat bersejarah serta menjadi tempat tumpuan bagi pelancongan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Pulai, Chin Aw Mek, 75, tidak sabar untuk melakukan aktiviti keagamaan di tokong yang menjadi kebanggaan mereka sempena Tahun Baharu Cina ini.

Katanya, selain masyarakat Cina, kaum lain turut mengunjungi tokong itu hampir setiap hujung minggu bagi mengambil gambar di kawasan pekarangannya.

“Setiap tahun tokong ini meriah dengan kedatangan pengunjung dari luar negara termasuk Singapura.

“Sempena kedatangan tahun ular mengikut Kalendar Qamari Cina ini, saya berharap mendapat kesihatan yang baik dan kegembiraan sepanjang tahun,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya