HULU TERENGGANU: Seorang suami di Kampung Getang, di sini yang setia menjaga isterinya terlantar sejak lapan tahun lalu akibat kanser otak tahap empat, hanya mampu menahan air mata apabila cuma dapat menyediakan mi segera sebagai alas perut untuk ahli keluarganya.
Tuan Ismail Tuan Muda, 54, berkata, kekangan kewangan dihadapi turut membuatkannya pilu melihat anak bongsunya yang berusia sembilan tahun pernah mencari dan mengutip duit syiling untuk perbelanjaan sekolah.
Katanya, dia tiada pilihan selain menutup bengkel kimpalan diusahakan sejak sekian lama demi menumpukan perhatian menguruskan isterinya, Rasidawati Puasa,49, dan keluarga.
“Sebelum disahkan kanser, isteri kerap sakit kepala dan beberapa kali ke hospital bagi mendapatkan rawatan namun ketika itu dimaklumkan hanya migrain. Semuanya terjawab selepas isteri rebah di hadapan rumah tiga tahun lalu. Saya bawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hasil pemeriksaan imbasan mendapati ada tumor kanser di dalam otaknya.
“Saya terkejut apabila hasil pemeriksaan lanjut, doktor maklumkan isteri hidap kanser otak tahap empat. Tahap kesihatannya makin menurun sehingga tidak lama selepas itu dia terlantar dan penglihatan terganggu namun ingatan masih baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Katanya, selepas terpaksa menutup bengkel, dia mengusahakan ternakan ikan sangkar sebagai sumber pencarian dengan bermodalkan sejumlah wang simpanan kerana mempunyai masa untuk menguruskan isteri berbanding kerja kimpalan.
“Namun semuanya musnah akibat banjir teruk pada Februari 2022, semua 30,000 ekor ikan tilapia, patin dan baung yang diternak mati. Saya tiada pilihan kecuali berhenti kerana tidak ada lagi sumber kewangan untuk teruskannya.
“Lebih kurang dua tahun saya tidak ada pendapatan tetap, apabila ada orang ajak kerja kampung bolehlah sedikit upah. Kehidupan saya sekeluarga banyak bergantung kepada bantuan serta sumbangan orang ramai,” katanya.
Dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan selain sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) RM3,000 setahun serta Tabung Darul Iman termasuk dalam bentuk bantuan lampin pakai buang.
Katanya, bantuan-bantuan itulah digunakan untuk keperluan isteri serta tiga anak masih belajar yang masing-masing berusia sembilan tahun, 15 tahun dan 24 tahun manakala anak sulong berusia 29 tahun telah berkahwin.
Katanya, kekangan kewangan pernah membuatkan dia cuma mampu menyediakan mi segera dan berharap ada pihak yang sudi membantunya memulakan kembali ternakan ikan sangkar.
“Kudrat masih ada, seboleh-bolehnya sebagai ketua keluarga saya ingin cari rezeki menanggung keperluan isteri dan anak-anak. Cuma saya tiada modal untuk menternak ikan sangkar semula,” katanya. Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu boleh menghubungi Tuan Ismail di talian 016- 6563440.-UTUSAN.