Raja Muda Perlis berkenan bertemu Menteri Cularaja Thailand - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan bertemu Menteri Cularaja Thailand

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan bagi mengadakan pertemuan bersama Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin, di Masjid Kamalulislam, Khlong Sam Wa, Bangkok, Thailand, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan bersama Menteri Cularaja atau Syeikhul Islam Thailand, Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin di Masjid Kamalulislam, Khlong Sam Wa, Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta disambut oleh imam dan Ketua Majlis Agama Islam Bangkok, Syeikh Samai Charoenchang.

Untuk rekod, Arun Boonchom adalah merupakan Chularatchamontri atau Chula Rajamontri iaitu Ketua Hal Ehwal Islam dan para penganutnya di negara Thailand serta berperanan selaku mufti atau pemberi nasihat utama mengenai bidang agama kepada kerajaan Thailand terutamanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan negara tersebut.

Dalam kenyataan ringkas, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan pertemuan itu adalah sebahagian daripada program Ziarah Mahabbah yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs di Bangkok dan Ranong, Thailand.

Sementara itu, Arun Boonchom menerusi ucapannya berkata, pertemuan itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik dua hala antara negeri Perlis dan kerajaan Thailand.

Katanya, kebanyakan penduduk di kawasan sekitar masjid yang dikunjungi Tuanku Syed Faizuddin juga mempunyai hubungan sejarah yang berketurunan asal dari Perlis dan Kedah.

“Ini akan memperkukuhkan lagi silatulrahim dan keakraban antara masyarakat setempat dengan delegasi dari Perlis ini,” katanya.

Tambahnya, lawatan kerja ini juga bertepatan dengan falsafah Ummatan Wahidah yang melibatkan perkongsian dan perbincangan dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial dan pendidikan khususnya peluang bagi melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ) serta kebudayaan demi manfaat umat Islam,” katanya.

Dalam majlis sama, Tuanku Sued Faizuddin turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada Masjid Kamalulislam berjumlah RM2,000 bagi menjalankan aktiviti keagamaan dan pengimarahan masjid tersebut selainTuanku Lailaitul Shahreen juga turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada 50 orang anak yatim terpilih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya