TUMPAT: Sebuah keluarga menjadikan rumah pusaka peninggalan nenek moyang yang berusia lebih 200 tahun di Kampung Delima, Kulim, Wakaf Bharu di sini sebagai lokasi berkumpul bersama sanak-saudara untuk menyambut Tahun Baharu Cina, semalam.
Pemiliknya, Datuk Dr. Ang John Sun berkata, sambutan kali ini cukup bermakna apabila dia dan keluarga serta adik beradik lain termasuk sanak-saudara terdekat dapat berkumpul untuk ‘makan besar’ bersama di rumah tersebut.
“Selain mengimbau kenangan lama sepanjang membesar di sini, saya mahu generasi baharu dalam keluarga turut merasai keunikan yang ada di sini.
“Saya merupakan generasi ketujuh yang bertanggungjawab menjaga rumah peninggalan nenek moyang ini. Ini merupakan rumah asli warisan Cina Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
John Sun berkata, rumah warisan itu dibina secara gotong-royong menggunakan kaedah pasak.
Katanya, lebih menarik tiang utama rumah ini diperbuat daripada kayu pokok cengal.
“Kerja-kerja naik taraf rumah tersebut sentiasa dilakukan bagi memastikan ia kekal terpulihara,” katanya.-UTUSAN.