Prasarana surau di pasar malam diperkemas, semarak program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’. - Utusan Malaysia

Prasarana surau di pasar malam diperkemas, semarak program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’.

MOHD. Shukri Ramli bersama Affendi Rajini Kanth meninjau pasar malam Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Prasarana surau di 14 lokasi tapak pasar malam sekitar negeri ini yang berada bawah kendalian Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan diperkemaskan dalam menyemarakkan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kebanyakan tapak pasar malam MPK sememangnya disediakan kemudahan surau namun prasarana di sebilangan tempat masih belum lengkap sepenuhnya.

“Kita belum bersedia dengan prasarana lagi. Selepas ini, kita akan bergerak ke arah itu namun kebanyakan pasar malam MPK ada kemudahan surau,” katanya selepas Sesi Walkabout di Pasar Malam Kangar, di sini, semalam.

Mohd. Shukri berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan program Berhenti Dulu Kita Solat yang dilaksanakan berkuatkuasa 15 September tahun lepas.

Menerusi program itu, peniaga pasar malam beragama Islam di negeri ini disaran menghentikan seketika operasi perniagaan mereka pada waktu Maghrib bagi memberi laluan untuk menunaikan solat.

Operasi dihentikan selama 20 minit termasuk 10 minit sebelum masuk waktu bagi membolehkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, pematuhan peniaga-peniaga di tapak pasar malam sekitar negeri ini untuk menghentikan sementara operasi perniagaan ketika waktu Maghrib menunjukkan perkembangan positif sejak mula dilaksanakan.

Katanya, MPK sememangnya tidak menghalang peniaga Islam untuk beroperasi pada waktu Maghrib namun mereka digalakkan untuk menunaikan solat terlebih dahulu bagi menyemarakkan pelaksanaan program Berhenti Dulu Kita Solat.

“Memang kalau kita semak, operasi perniagaan itu lenggang dan ramai yang akan menunaikan solat dahulu pada waktu Maghrib kecuali peniaga dan pembeli wanita sahaja.

“Operasi diteruskan tapi peniaga wanita sahaja kerana kebanyakkan hampir semua peniaga lelaki akan menunaikan solat di surau yang kita sediakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya