PASIR SALAK: Masalah padi yang ditanamnya sering diserang penyakit selain masalah sistem pengairan menyebabkan seorang pesawah di sini mengambil keputusan menukar tanah sawahnya kepada tanaman jagung.
Keputusannya ternyata berbaloi apabila meraih keuntungan yang lebih baik berbanding tanaman padi.
Ghafor Sarif ,55, berkata, dia mula mengusahakan tanaman jagung di tanah sawahnya seluas kira-kira 0.8 hektar dan menghasilkan keuntungan yang baik pada setiap kali hasil dikeluarkan.
Menurutnya, jagung manis yang diusahakannya mendapat permintaan yang tinggi selain harganya yang stabil.
“Sawah di sini mengalami masalah sistem pengairan, selain padi kerap diserang penyakit menyebabkan saya tidak mendapat keuntungan daripada padi yang ditanam.
“Saya cuba beralih kepada tanaman jagung sejak dua tahun lalu dan tak sangka hasilnya lebih baik daripada padi.
“Tanaman jagung juga mudah diusahakan selain tiada masalah serangan penyakit pada pokoknya. Saya boleh katakan hasil jagung lebih baik daripada tanaman padi,” katanya ketika ditemui di Sungai Manik di sini.
Ghafor mengakui pada awalnya dia ragu-ragu sama ada tanah sawah sesuai ditanam jagung apatah lagi sawah di kawasannya menghadapi masalah sistem pengairan yang tidak sempurna.
Menurutnya, namun kerana tidak mahu berterusan mengalami kerugian daripada menanam padi dia nekad menukar kepada tanaman jagung.
“Saya seperti tidak percaya dengan hasil yang diperoleh daripada tanaman jagung ini. Ternyata tanah sawah sesuai dengan tanaman jagung, pokoknya subur dan saiz buahnya besar selain isinya cantik.
“Kejayaan ini mendorong saya untuk menambah keluasan tanaman jagung yang ternyata lebih menguntungkan,” katanya.-UTUSAN.