RANTAU PANJANG: Pendapatan tidak menentu sejak tiga bulan lalu susulan musim tengkujuh membuatkan penoreh getah di negeri ini buntu memikirkan nasib mereka kerana perlu mencari wang untuk persiapan penggal baharu persekolahan anak selain persediaan kedatangan Ramadan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja selepas pokok getah ditenggelami banjir selain hujan.
Wan Omar Wan Daud, 61, yang tiga bulan hilang pendapatan berkata, berkemungkinan besar dia tidak dapat menyediakan keperluan penggal baharu persekolahan anaknya serta persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
“Salah seorang anak saya masuk ke tingkatan satu. Jadi semua kelengkapan baharu diperlukan. Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 tidak mencukupi, itu membuatkan saya runsing” katanya ketika ditemui di Kampung Baroh Pial di sini semalam.
Wan Omar berkata, dia bersyukur apabila menerima bantuan makanan pasca banjir sepanjang tidak dapat menoreh.
Seorang lagi penoreh, Mariam Seman, 47, berkata, kebun getahnya ditenggelami banjir menyebabkan dia tidak dapat mencari rezeki memandangkan mengambil masa lama untuk surut.
“Sebaik sahaja banjir surut, kami di sini berdepan dengan cuaca hujan. Selagi musim tengkujuh belum berakhir, kami tidak dapat menoreh,” katanya.-UTUSAN.