KEMAMAN: Pantai Teluk Mak Nik, di sini yang menjadi tarikan ramai kini semakin hilang seri apabila hakisan pantai yang semakin meruncing sehingga mengubah landskap pantai itu.
Tinjauan di sepanjang satu kilometer dari pantai itu ke Pantai Geliga mendapati, puluhan batang pokok ru tumbang dipukul ombak besar dan angin kencang minggu lalu.
Seorang pengunjung, Zizi Izyani Zainal Abidin, 29, berkata, dia yang bercuti bersama empat ahli keluarganya terkejut melihat keadaan Pantai Teluk Mak Nik yang terjejas ekoran hakisan.
“Kami sekeluarga datang ke sini untuk menikmati pemandangan pantai namun bila sampai, kami terkejut tengok banyak pokok tumbang,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi seorang peniaga yang ingin dikenali Suhaila, 34, perniagaannya terjejas sejak minggu lalu berikutan pantai itu kurang pengunjung.
“Buat sementara ini, kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok masih dijalankan pihak berkuasa dan tak ramai yang datang ke sini.
“Kita bimbang kalau hakisan pantai ini tak dibendung, kawasan penyu mendarat juga terjejas sebab kawasan ini biasanya akan menjadi tempat penyu bertelur sekitar Mac hingga Ogos,” katanya.
Penduduk di Kampung Geliga, Shamsudin Alias, 65, berkata, sudah puluhan rumah berhampiran pantai runtuh ekoran hakisan dan dipukul ombak sejak beberapa tahun lalu.
“Tahun ini, dua buah rumah runtuh. Sebelum ini hampir 30 buah rumah penduduk sudah roboh, selagi tak buat benteng pemecah ombak, setiap tahun akan ada kediaman penduduk yang terjejas,” katanya.-UTUSAN.