ALOR SETAR: Kanak-kanak berusia empat tahun yang koma lebih empat bulan lepas setelah lemas, dijemput Ilahi hari ini ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Menurut ibu Che Umar Rais Che Fairollah, Nurul Izzati Barni, 30, anak kesayangannya itu meninggal dunia pada pukul 12.11 tengah hari setelah bertarung nyawa di saat-saat akhir.
“Kesihatan Umar merosot pagi tadi kira-kira pukul 11 pagi jantungnya jadi lemah. Doktor melakukan pelbagai cara untuk memulihkan Umar, namun Allah SWT lebih sayangkan dia.
“Jantungnya terhenti pada pukul 12.11 tengah hari. Saya tergamam namun reda andai inilah ketentuan Allah SWT,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nurul Izzati, anak bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak koma akibat lemas setelah terjatuh dalam kolam orang dewasa di sebuah inap desa empat bulan lepas.
“Sudah lebih empat bulan Umar dirawat di Wad Separa Kritikal HSB ini dan saya menjaganya dengan penuh kasih sayang agar suatu hari nanti dia akan kembali kepada kami. Tetapi semua ini ketentuan Tuhan,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya akan dikebumikan di kampungnya dekat Tebengau, Kuala Kedah hari ini setelah urusan bedah siasat selesai.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan yang menghulurkan bantuan kepada kami. Banyak yang mendoakan kesembuhan Umar dan semua jasa-jasa anda Tuhan sahaja yang dapat balas,” katanya.
Kisah kanak-kanak comel ini meraih perhatian warganet apabila ibunya berkongsi penderitaannya di media sosial sejak kejadian pada September itu. – UTUSAN