PASIR PUTEH: Usaha gigih seorang wanita menjalankan perniagaan ikan bekok dan kering secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lalu di kawasan belakang rumah membebaskan keluarganya daripada belenggu kemiskinan.
Bukan itu sahaja, Nor Fazila Mohd. Kamaruzzaman, 34, dari Kampung Pachakan, di sini turut berkongsi rezeki dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.
Nor Fazila berkata, setiap hari dia memproses antara 500 hingga 1,000 kilogram (kg) ikan untuk dijadikan sebagai ikan bekok dan kering.
“Penghasilan ikan bekok saya gunakan ikan jenis gelama, kerapu, pasir, siakap, mani abu dan ikan cupak. Untuk ikan kering pula, saya gunakan jenis tamban, butir nangka, cencaru lecek, selayang dan banyak lagi.
“Alhamdulillah, perusahaan ikan bekok dan kering ini semakin baik. Ketika ini saya tidak menang tangan untuk menampung permintaan pelanggan dan purata jualan harian mencecah lebih RM1,000 sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nor Fazila berkata, produk keluarannya itu dijual di Pasar Besar Kuala Krai dan dibeli secara borong oleh peraih dari Terengganu dan Kuantan, Pahang.
Katanya, dia turut memasarkan ikan bekok dan kering itu menggunakan laman sosial.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik. Bagi urusan jual beli luar kawasan dikendalikan oleh suami (Mohd. Khadri Dia’riff) yang sebelum ini bekerja sebagai buruh,” katanya.
Menurutnya, setiap kali cuti umum atau cuti sekolah, jualan ikannya meningkat kerana menjadi pilihan untuk kesyukuran atau majlis perkahwinan.-UTUSAN.