ARAU: Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia yang dilaksanakan di Laman Warisan, Bandar Diraja Arau, di sini, baru-baru ini, menjadi platform bagi memperkukuhkan hubungan antara komuniti khususnya di negeri ini.
Pengarah Urusan Ummul Travel And Tours Sdn.Bhd, Rizwan Ahamed Badruddin berkata, program tersebut juga merupakan usaha bagi mempromosikan warisan budaya dan kenderaan klasik yang unik, estetika serta nostalgia.
Katanya, penganjuran program tersebut menjadi pembuka tirai bagi tahun 2025 yang menandakan permulaan usaha lebih besar dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025
“Selain itu, lebih istimewa lagi adalah kerana program ini berlangsung dalam semangat Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan meraikan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Muda Perlis Ke-57,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea dan Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia yang diadakan, di sini, baru-baru ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat hadir dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Rizwan.
Majlis ini juga merupakan anjuran Ummul Travel And Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Arau, komuniti dan masyarakat setempat.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan berangkat memandu sendiri kereta BMW 320i Cabriolet 1990 dan menyempurnakan simbolik upacara memotong kek sempena Hari Keputeraan baginda.
Himpunan Kenderaan Klasik itu diserikan lagi dengan pertandingan membabitkan beberapa kategori antaranya seperti Anugerah Kereta Klasik Pilihan (50-an dan 60-an), Anugerah Kereta Klasik Pilihan (Kategori 70-an dan 80-an) dan Anugerah Best of The Best.
Dianggarkan lebih 50 pemilik kenderaan klasik serta peminatnya dari Semenanjung Malaysia seperti Terengganu, Kelantan, Johor dan kelab kenderaan klasik dari Selatan Thailand telah bersama-sama memeriahkan himpunan tersebut.-UTUSAN