Harga beli padi: Pesawah hanya dapat RM21 sehari - Utusan Malaysia

Harga beli padi: Pesawah hanya dapat RM21 sehari

PESAWAH terus membanting tulang walaupun menerima pulangan yang tidak setimpal ekoran harga belian padi yang terlalu murah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendapatan para pesawah yang mengusahakan tanaman padi di negeri ini hanya sekitar RM21.77 sen sehari bagi satu musim untuk keluasan kira-kira 2.4 hektar atau lapan relung.
Keluasan itu adalah purata sawah yang diusahakan kebanyakkan petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, sama ada memiliki sawah sendiri atau menyewa daripada orang lain.

Sebagai contoh, petani perlu membayar antara RM700 ke RM800 hanya untuk menyewa sawah terbabit bagi setiap relung atau 0.3 hektar yang mana kos keseluruhan boleh mencecah sehingga RM5,600 ke RM6,400.

Seandainya padi dibeli pengilang pada harga RM1,300 setiap tan metrik, pendapatan kasar seorang pesawah bagi keluasan 2.4 hektar itu adalah RM15,600 dengan hasil pengeluaran padi kira-kira 12 tan atau 1.5 tan bagi setiap relung.

Pendapatan sebanyak RM15,600 itu jika ditambah sub­sidi RM500 diberikan kerajaan bagi setiap tan akan berjumlah RM21,600, bagaimanapun setelah ditolak kos input pertanian RM12,080 dan sewa sawah RM5,600 maka seorang pesawah hanya akan menerima pendapatan bersih di tangan sekitar RM3,920 semusim.

Semusim tanaman padi yang bersamaan enam bulan itu pula menjadikan setiap bulan mereka hanya boleh membelanjakan sebanyak RM653.33 atau RM21.77 sen sehari selama 180 hari.
Bagi petani yang mengusahakan sawah sendiri untuk keluasan sama pula, mereka akan mendapat RM9,520 semusim yang setelah dibahagi enam bulan bersamaan RM1,586.66 atau RM52.88 sehari.

Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, daripada keseluruhan lebih 50,000 pesawah di kawasan itu, kira-kira 50 peratus petani menyewa sawah untuk mencari rezeki.

“Bendang-bendang itu kebiasaannya pemilik yang telah meninggal dunia, sudah berusia dan tiada kudrat lagi untuk mengerjakan sawah dan waris-waris mereka juga tidak berminat untuk meneruskan kesinambungan kepada penanaman padi yang dilihat kini tidak berbaloi dengan usaha.

“Maka kalau kerajaan masih kekalkan harga lantai belian padi hanya RM1,300 setiap tan metrik seperti sekarang ini, memang para petani sukar untuk teruskan hidup, bayangkan RM653.33 sebulan yang jauh daripada paras gaji minimum ditetapkan di negara ini.

“Ramai petani yang masih ada anak kecil bersekolah dan menanggung komitmen-komitmen bulanan yang tinggi. Jadi, bagaimana mereka nak menghadapi situasi ini dengan pendapatan sebegitu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Che Ani, pesawah semakin lelah apabila setiap musim terpaksa berhadapan dengan isu-isu yang tidak sepatutnya ketika mereka membanting tulang menyediakan makanan ruji itu kepada rakyat negara ini.

Katanya, kerajaan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu segera menyelesaikan isu harga lantai belian padi kerana perkara itu adalah ‘kunci’ utama dalam sektor tanaman itu.

“Tak kan setiap musim petani nak kena berkumpul beramai-ramai tunjuk perasaan, selar orang itu, kata kepada orang ini. Kami penat dan sebaiknya dibuat segera kata putus mengenai harga lantai belian padi pada harga yang munasabah.

“Kami sepakat untuk minta dinaikkan kepada RM1,800 setiap tan metrik kerana kadar itu pernah dibeli oleh kebanyakan pengilang pada musim-musim sebelum ini. Maknanya mereka ada kemampuan untuk beli padi daripada petani pada harga itu,” katanya.

Pada masa sama Che Ani berkata, kerajaan wajar membuat pertimbangan untuk menetapkan harga beras sekitar RM28 ke RM30 bagi setiap 10 kilogram yang membolehkan situasi senang-menang antara petani, pengilang dan pengguna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya