SEREMBAN: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini ternyata berlainan buat penduduk di Kampung Seri Sikamat di sini apabila buat pertama kalinya mereka bergotong-royong menyediakan makanan tradisional popular masyarakat Melayu seperti lemang, dodol dan rendang.
Lebih unik, kesemua makanan itu disediakan juga oleh penduduk Melayu sekitar yang turut sama bergotong-royong di kampung itu yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Cina.
Program Bakar Lemang dan Mengacau Dodol Sempena Tahun Baharu Cina itu dianjurkan Kelab Waris Anak Melayu Negeri Sembilan 05, semalam yang merupakan program kali ketiga seumpamanya dilaksanakan kelab itu.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Kamaruddin Bador, menjadi hasrat kelab berkenaan untuk mengetengahkan juadah lemang dan dodol dalam setiap sambutan perayaan masyarakat di negara ini.
Jelasnya, sebelum ini kelab tersebut juga telah mengadakan program serupa sempena perayaan Deepavali.
“Kali ini lebih 80 ahli kelab dan juga penduduk bergotong-royong menyediakan juadah dodol sebanyak tiga kawah dan membakar 80 batang lemang. Ia kemudian diagihkan kepada 300 individu termasuk penduduk di kampung ini untuk sambutan Tahun Baharu Cina.
“Pada masa yang sama, sudah tentu saya berharap agar program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim masyarakat berbilang kaum di negara,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Sim Keng Piao berkata, kampung berkenaan berusia lebin 100 tahun dan dalam tempoh tersebut inilah kali pertama aktiviti berkenaan dianjurkan.
“Tidak pernah ada gotong-royong memasak oleh orang Melayu di sini untuk kami, tetapi kali ini mereka sanggup menyediakannya dari pagi hingga ke pukul 2 petang bagi memeriahkan sambutan perayaan kami.
“Makanan seperti lemang dan rendang yang merupakan makanan tradisional orang Melayu turut menjadi juadah kegemaran buat masyarakat kami. Program ini turut sama memberi ruang kepada kita untuk memahami budaya serta mencari persamaan sesama kita,” katanya.-UTUSAN.