Berhenti sebagai penjawat awam, berniaga kuih bakul - Utusan Malaysia

Berhenti sebagai penjawat awam, berniaga kuih bakul

NANI Maslina Sulaiman Najidi menunjukkan kuih bakul dihasilkan yang mendapat tempahan cukup tinggi bersempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Taman Indera, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun membawa pulangan rezeki kepada seorang wanita Melayu di sini yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan kuih bakul sempena perayaan berkenaan.

Nani Maslina Sulaiman Najidi, 50, juga sanggup meninggalkan pekerjaan sebagai penjawat awam sejak 2017 untuk fokus menghasilkan sendiri sajian tersebut yang mendapat permintaan cukup tinggi khususnya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Kuih bakul merupakan sajian sinonim dengan masyarakat Tionghoa yang lazimnya menjadi hidangan wajib sewaktu perayaan tersebut.

Nani Maslina berkata, pada mulanya, dia menghasilkan kuih bakul sekadar suka-suka selepas suami yang diserang angin ahmar dan lumpuh sebelah badan kira-kira setahun itu teringin menikmati sajian tersebut.

Katanya, selepas itu, dia mula menjual secara kecil-kecilan apabila mendapat permintaan daripada rakan-rakan terdekat yang pernah merasai sendiri kuih bakul dihasilkannya.

Ujar ibu kepada empat orang anak itu, dia mempelajari sendiri proses membuat kuih bakul hanya melalui internet dan tidak sangka beberapa kali percubaan menghasilkan kuih itu telah berjaya membuahkan hasil.

“Cabaran awal dalam menghasilkan kuih bakul ini memang sukar memandangkan ia bukan kuih tradisional Melayu yang banyak selok-belok dan pantang larang saya perlu belajar. Alhamdulillah selepas dua tahun, semuanya menjadi semakin mudah.

“Saya juga memulakan perniagaan kuih bakul tersebut dengan hanya bermodalkan RM300 dan ketika itu masih sebagai penjawat awam.

“Proses menghasilkan kuih bakul ini sememangnya mencabar dengan masa mengukus sahaja 20 hingga 24 jam yang kemudian perlu dijemur di bawah matahari terik selama tiga hari untuk mengeringkan daun pisang supaya tidak berkulat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Indera di sini, semalam.

Dia menambah, untuk membuat acuan kuih bulan itu juga memerlukan ketelitian sebelum ia dapat dijual kepada pelanggan.

“Acuannya juga memerlukan ketelitian, ia akan bocor jika daun pisang tidak betul-betul padat dan kuih bakul akan jadi tidak cantik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya