KANGAR: Takut dan ada yang cukup teruja. Itu antara reaksi dalam kalangan 52 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim dan asnaf yang menyertai program khatan perdana di Masjid Al Mustaqim, Seriab di sini semalam.
Pelaksanaan program itu dimulakan dengan kanak-kanak terlibat disiram pancutan air daripada jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum menjalani proses berkhatan tersebut.
Pengarah program, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, penganjuran itu merupakan inisiatif bagi memberikan semangat kepada kanak-kanak tersebut untuk berkhatan di samping mengurangkan ketakutan dan rasa gemuruh sebelum menginjak ke alam dewasa.
“Program ini merupakan usaha bagi memberi keterujaan buat kanak-kanak sebelum bersunat malah terdapat beberapa aktiviti lain dianjurkan seperti pertandingan mewarna, kostum menarik dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemuI semalam.
Program tersebut dianjurkan Annura Medical Group dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri, Masjid Al-Mustaqim, Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Jawatankuasa Penyelaras Kebajikan Anak Yatim Perlis dan Pusat Aktiviti Warga Emas Yayasan Islam Perlis.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Ariffin dan turut dihadiri Pengerusi Masjid Al-Mustaqim, Azemi Salim.
Ahmad Fadhzil berkata, bagi kategori anak yatim, kos berkhatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Jawatankuasa Penyelaras Kebajikan Anak Yatim Perlis.
“Manakala bagi kategori asnaf dalam kariah pula ditanggung sepenuhnya oleh Masjid Al-Mustaqim,” katanya.
Sementara itu, Roze Aza berkata, penganjuran program berkenaan merupakan usaha cukup baik membantu ibu bapa kurang berkemampuan membiayai kos berkhatan anak mereka.
Usaha itu juga merupakan proses bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai aspek kebersihan. Jabatan Pendidikan negeri turut membantu mengenalpasti kanak-kanak berkelayakan menyertai program khatan ini,” katanya.-UTUSAN