JERANTUT: Sebanyak 500 naskhah akhbar Mingguan Malaysia terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. diedarkan secara percuma kepada pengunjung pekan sehari di bandar Jerantut di sini.
Pegawai Media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, Ahmad Fairudz Muhammad berkata, naskhah akhbar itu kali pertama diedarkan kepada penduduk di sini antara usaha untuk menitip pengetahuan maklumat berasaskan berita yang lebih tepat tentang hal ehwal dalam dan luar negeri.
“Kita pilih pekan sehari kerana bandar ini menjadi tumpuan ramai penduduk berbelanja dan lebih mudah Mingguan Malaysia ‘dekat di hati’ rakyat yang mahukan maklumat yang sahih.
“Nampaknya, ramai penduduk gembira dan memuji usaha Haris Salleh menggalakkan pembacaan akhbar cetak berbanding selama ini menggunakan alat peranti seperti telefon pintar dan lain-lain gajet,” katanya.
Menurut Ahmad Fairudz, akhbar Mingguan Malaysia ini juga diedarkan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Tok Imam daerah ini serta ketua-ketua cawangan UMNO dan Felda di sini untuk bacaan penduduk setempat.
Sementara itu, pengunjung pekan sehari, Anuar Rahman, 61, berkata, dia teruja kerana dapat menatap akhbar cetak ini kerana sebelum ini cuma mengakses secara dalam talian.
“Akhbar Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia) menyajikan berita yang terkini dan tepat di samping banyak perubahan layout muka depan yang menarik dan berwarna-warni,” katanya.-UTUSAN.