KUALA TERENGGANU: Meskipun tinggal berjauhan dengan keluarga, sambutan Tahun Baharu Cina tetap meriah dan istimewa dengan pertemuan lebih 20 mualaf yang tinggal di sekitar daerah ini.
Nur Khaalishah Shandlaysnie, 38, yang telah tujuh tahun memeluk Islam berkata, dia mengambil inisiatif mengumpulkan sahabat yang tidak pulang ke kampung bersama-sama menyertai majlis makan malam di sebuah restoran untuk menceriakan mereka.
“Ramai antara kami yang telah memeluk Islam namun lebih selesa untuk berada di Terengganu bagi mendalami ajaran agama. Ada yang tidak berkesempatan pulang ke kampung dan ada juga yang tidak mempunyai keluarga.
“Jadi, saya mahu mereka tetap meraikan tradisi Tahun Baharu Cina dengan berkumpul beramai-ramai di majlis makan malam ini untuk mengubati kerinduan terhadap keluarga,” katanya.
Nur Khaalishah berkata, majlis makan malam itu juga merapatkan lagi silaturrahim sesama mualaf dengan kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang banyak membimbing mereka selama ini.
“Kami memang rapat kerana komuniti yang kecil dan sentiasa berhubung dengan ustaz yang berbangsa Melayu, Cina dan India. Insy-Allah majlis seperti ini akan tetap menjadi rutin tahunan kami di perantauan untuk meraikan tradisi selagi tidak melanggar syariat Islam,” katanya.