Pasar malam Kangar di market lama kembali, gamit nostalgia - Utusan Malaysia

Pasar malam Kangar di market lama kembali, gamit nostalgia

ASRUL Aimran Abd Jalil (baju biru) dan Affendi Rajini Kanth meninjau pembukaan semula pasar malam Kangar selepas hampir 30 tahun di tapak parkir market lama Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan parkir pasar besar lama di sini pada era 1980 dan 90-an merupakan antara lokasi tumpuan penduduk negeri ini dengan penganjuran pasar malam pada setiap hari Rabu di kawasan berkenaan.

Namun begitu, pada 1998 , pasar malam tersebut telah berpindah ke lokasi di pekarangan Kompleks Tuanku Syed Putra, di sini sebelum memberhentikan operasi.

Selepas hampir 30 tahun, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil inisiatif mewujudkan semula pasar malam Kangar di lokasi sama sekali gus mengimbau kembali nostalgia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pembukaan semula pasar malam itu merupakan satu nostalgia buat penduduk negeri ini yang pernah merasai kemeriahan penganjurannya pada suatu masa dahulu.

“Kita cuba rancakkan kembali kawasan pekan lama Kangar dengan membuka semula operasi pasar malam ini yang mempunyai nostalgia tersendiri,” katanya selepas sesi tinjauan pembukaan semula pasar malam Kangar bersama Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth di sini, semalam.

Sebagai rekod, pasar malam Kangar menyediakan 120 lot tapak perniagaan di mana lebih 80 peniaga telah berdaftar dengan MPK bagi menjalankan operasi perniagaan.

Selain itu, tapak berkenaan turut dibahagikan kepada tiga zon iaitu membabitkan jualan makanan, barangan basah dan aksesori.

Mengulas lanjut, Asrul Aimran berkata, pasar malam berkenaan juga akan menjadi model bagi pelaksanaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ yang mewajibkan peniaga menghentikan operasi mereka semasa waktu Maghrib bagi menghormati dan menunaikan solat.

“Terdapat kemudahan surau dan tandas disediakan tapak berkenaan dan inilah contoh pasar malam yang kita harapkan bagi pelaksanaan program itu,” katanya.

Sementara itu, Asrul Aimran berkata, pasar malam itu beroperasi setiap Rabu bermula pukul 5 petang sehingga 10 malam.

“Selain mengimbau nostalgia kemeriahan penganjurannya, pasar malam berkenaan juga dapat menjadi medium dalam membantu meningkatkan ekonomi peniaga setempat. Malah kita harapkan kawasan ini yang suram pada waktu malam akan kembali meriah dengan adanya pasar malam ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya