MELAKA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sedang mengagihkan sebanyak 10,000 kotak makanan kepada lebih 50,000 isi rumah golongan asnaf di seluruh negara, menerusi Jelajah Peduli Ummah yang bermula Oktober lalu.
Pengarah Perhubungan Korporat MAPIM, Nik Abdul Aziz Nik Mohamad berkata, program itu telah menjelajah empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Melaka manakala Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang pula bakal menyusul.
Menurutnya, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan untuk membantu asnaf menerusi penyerahan kotak makanan yang mengandungi beras, minyak masak, makanan kering dan gula bernilai RM130 sekotak.
“Program ini bukan sahaja kita mengagihkan kotak makanan tetapi juga mendekatkan masyarakat dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan komuniti seperti pemeriksaan kesihatan, solat Subuh berjemaah, sukaneka, ziarah mahabbah dan program bimbingan ilmu.
“Kami berharap ia dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat, sekali gus menginspirasikan lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha kebajikan ini,” katanya ketika ditemui di tapak parkir Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah di sini, hari ini.
Hari ini, MAPIM mengagihkan 300 kotak makanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan disusuli 300 lagi kotak makanan esok di DUN Paya Rumput.
Tambah Nik Abdul Aziz, kotak makanan itu diserahkan kepada 160 penduduk di 40 buah rumah dan tiga sekolah tahfiz.
“Sejak semalam penduduk di DUN Duyong bergotong-royong membuat kenduri secara rewang melibatkan lima kampung dan kita solat Subuh berjemaah selain adanya sukaneka, sukan rakyat dan pelbagai aktiviti,” ujarnya. – UTUSAN