ARAU: Perlis menjadi destinasi persinggahan bagi perkhidmatan keretapi mewah Essential Malaysia Journey iaitu Eastern & Oriental (E&O) Express.
Keretapi itu singgah di negeri ini seminggu sekali sepanjang November sehingga Februari 2025.
Menerusi perkhidmatan tersebut, pelancong keretapi mewah berkenaan berpeluang merasai pengalaman autentik seperti mempelajari sendiri proses mencanting dan mewarna batik di samping mendapatkan informasi berhubung pembuatannya secara langsung di Kampung Ngulang, di sini.
Selain itu, pelancong juga dapat memasak sendiri hidangan tempatan seperti roti jala dan kaya di sebuah kafe kampung iaitu Rumah Kupi di Mata Ayer.
Terdapat juga pilihan lain ditawarkan kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan keretapi mewah tersebut iaitu dengan melakukan aktiviti berbasikal sekitar Wang Kelian bagi mencari Beruk Kentoi yang hanya terdapat di Perlis.
Malah, mereka juga akan dibawa melawat ke Gua Kelam dan seterusnya menikmati makanan tempatan di sekitar Pekan Kaki Bukit.
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat mengadakan lawatan dan menaiki perkhidmatan keretapi mewah itu di Stesen Keretapi Bukit Ketri, di sini, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menyambut ketibaan baginda adalah Pengurus Besar E&O Express, Valentin Waldman dan Duta Pengalaman Tetamu, Raja Nurul Badizza Raja Badrulzaman.
Menerusi lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menaiki perkhidmatan keretapi mewah tersebut yang bergerak dari Stesen Bukit Keteri ke Stesen Kereta Api Diraja Arau.
Sesi lawatan berkenaan adalah bertujuan bagi mewujudkan satu kerjasama dalam bidang pelancongan ke arah mempromosikan Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan alam semula jadi dan budaya unik selaras dengan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.-UTUSAN