KANGAR: Tindakan sindiket yang bertindak menyembunyikan minuman keras tidak berkastam di dalam ruangan khas sebuah lori terbongkar menerusi pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri di Terminal Feri Roll-On Roll-Off (RORO) Kuala Perlis, pada 6 November lalu.
Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, menerusi pemeriksaan pada pukul 12.10 tengah hari itu, pihaknya menemukan 1,626 botol dan 240 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM172,244.40.
Beliau berkata, menerusi semakan, jumlah rampasan itu adalah membabitkan nilai cukai sebanyak RM217,815.16.
“Selain itu, JKDM turut bertindak merampas lori tersebut yang dianggarkan bernilai RM217,815.16,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ismail, seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang merupakan pemandu lori itu turut ditahan bagi menjalani siasatan lanjut.
Katanya, suspek turut bertindak mengikrarkan barangan dalam borang kastam tiga sebagai bakul plastik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyembunyikan minuman keras yang tidak berkastam dari Pulau Langkawi di dalam ruangan simpanan rahsia dan turut dilindungi dengan bakul-bakul plastik bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
“Minuman keras merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual III, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain lagi.
Tambahnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara malah turut mengundang ancaman keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu JKDM membanteras kegiatan jenayah penyeludupan khususnya di negeri ini,” katanya.-UTUSAN