Festival Warisan Nusantara 2024 di Perlis, festival terbesar rantau ini - Utusan Malaysia

Festival Warisan Nusantara 2024 di Perlis, festival terbesar rantau ini

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail (tiga dari kanan) menerima cenderahati bagi sombolik penganjuran Warisan’24 di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis, pada 6-8 Disember depan. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Festival Warisan Nusantara 2024 (Warisan’24) yang akan berlangsung di Perlis pada 6 hingga 8 Disember depan bakal menjadi salah satu festival terbesar di rantau ini.

Acara kebudayaan itu akan diadakan di Dewan Wawasan 2020, di sini, dengan pelbagai pengisian aktiviti menarik.

Pengarah Festival Warisan’24, Amir Izwady Abu Bakar berkata, penganjuran festival itu diadakan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) yang bertujuan bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan unggul dengan memperkenalkan keunikan budaya dan warisan tempatan.

“Warisan’24 menawarkan pelbagai aktiviti menarik mencerminkan kekayaan budaya dan tradisi Nusantara antaranya seperti Explorace Jejak Warisan, Demonstrasi Permainan Tradisional, Bengkel Cantingan Batik dan Warisan Fun Run.

“Selain itu, terdapat juga acara lain dianjurkan seperti Demonstrasi Gastronomi Warisan dan Tradisional, Pameran Khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs), Persembahan Kebudayaan dan Sembang Santai Warisan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir berkata, Warisan’24 dianjurkan oleh Geliong Venture Sdn Bhd dengan kolaborasi bersama Persatuan Sains Sukan & Rekreasi UiTM Perlis (SPORTREC), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), MAIPs, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Katanya, festival itu juga akan dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 6 Disember.

“Festival ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Tourism Malaysia dalam menyemarakkan lagi penganjuran TMPs,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, pada tahun ini, Warisan’24 juga memperkenalkan Jelajah Warisan berkonsepkan Keretapi Sarong bertujuan bagi menggalakkan penyertaan orang awam melalui perjalanan interaktif yang mempromosikan elemen tradisi dan warisan.

Katanya, Festival Warisan’24 juga akan menampilkan pelancaran Jati of Perlis-Warisan Semula Jadi yang merupakan satu projek bagi merealisasikan potensi pokok Jati dalam menyokong kelestarian alam dan kemampanan ekonomi di Perlis.

“Konsep projek ini melibatkan penghasilan produk bernilai tinggi daripada pokok Jati dan bakal diketengahkan sebagai kebanggaan rakyat Perlis seperti mana mangga Harumanis.

“Dengan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dan pihak berkepentingan, Warisan’24 dijangka memberi impak besar dari segi ekonomi, pelancongan dan kesedaran budaya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya