ARAU: Projek Driven for Community (D4C) yang diusahakan menerusi penanaman cendawan menggunakan sistem kelembapan optimum berupaya membantu menambah pendapatan komuniti khususnya golongan B40.
Setakat ini, projek berkenaan telah melibatkan seramai 24 peserta yang dipilih dari tiga kawasan sekitar negeri ini iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, Projek D4C di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 Negeri Perlis itu dilihat berjaya meningkatkan pendapatan peserta, taraf hidup dan peluang pekerjaan masyarakat setempat.
“Ia juga menjadi penyumbang kepada peningkatan hasil pertanian demi keterjaminan makanan di negara ini. Inisiatif ini juga telah memberi impak besar dalam skop sosial dengan pulangan pendapatan sampingan kepada peserta antara RM5,000 ke RM6,000 untuk tempoh tiga bulan bagi satu pusingan tanaman,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran Projek D4C di Kampung Padang Siding, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliman berkata, Projek D4C secara keseluruhan telah memasuki tahun keempat pelaksanaan di mana hasil penanaman pusingan pertama cendawan oleh peserta telah mencapai lebih 6,000 kilogram dengan jumlah jualan hampir RM60,000.
Katanya, perkembangan itu adalah selari dengan sasaran pelaksanaan projek berkenaan dalam membantu meningkatkan 25 peratus pendapatan sampingan peserta setiap bulan.
“Pelbagai program pemindahan dan perkongsian ilmu (KSTP) turut dilaksanakan menerusi Projek D4C ini termasuk penggunaan sistem kelembapan optimum untuk meningkatkan pengeluaran cendawan dan mengurangkan kesan cuaca ekstrem,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Penyampaian Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Mohd Najib Jaafar berkata, pelaksanaan projek itu merupakan simbol usaha bersepadu bersama universiti tempatan dan komuniti setempat dalam mencapai kemakmuran bersama.
Katanya, objektif projek itu juga bertujuan bagi memperkasa komuniti bumiputera termasuk golongan B40 yang sering berdepan cabaran ekonomi dengan memastikan mereka menerima sokongan berterusan.
“Kerjasama strategik antara Teraju dan Unimap ini mencerminkan pendekatan bersepadu antara sektor industri pendidikan tinggi dan agensi kerajaan dalam menggerakkan agenda pembangunan ekonomi yang mampu menghasilkan impak besar,” katanya.-UTUSAN