PADANG BESAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Tuanku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama Dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja bertempat di 4 RRD, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, Perlis, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (K) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Fazal Abdul Rahman.
Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen 1 RRD (Istiadat) dan 2 RRD melibatkan Batalion Pertama (Istiadat) dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada 31 orang pegawai dan 378 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Salrafeehasleizad Salih dan Pegawai Memerintah, Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Ahmad Faizal Abdul Latif.
Panji-Panji dianggap sebagai simbol semangat dan tradisi rejimen atau pasukan yang membawanya, penganugerahan atau pertukaran Panji-Panji Rejimen merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan bersejarah kepada pasukan.-UTUSAN