ARAU: Lebih 1,200 murid termasuk ibu bapa teruja menyertai Fly High Fun Run Sekolah Tengku Budriah (STB) yang berlangsung cukup meriah di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis di sini hari ini.
Acara julung kali diadakan itu membabitikan larian sejauh tiga dan lima kilometer terbuka membabitkan kanak-kanak pra sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) dan murid tahun satu sehingga enam.
Pelepasan larian tersebut yang bermula pukul 8.30 pagi itu disempurnakan oleh Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim dan Rektor UiTM Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.
Zaitun berkata, acara larian tersebut mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja daripada murid-murid sebaliknya ibu bapa yang turut bersama memberikan sokongan dengan menyertai larian santai berkenaan.
Melihat kepada sambutan itu, Zaitun berkata, beliau tidak menolak kemungkinan menjadikan larian tersebut sebagai acara tahunan bersempena dengan sambutan bulan Hari Sukan Negara (HSN).
“Sambutan sangat meriah kalau kita saksikan sekali gus memberi impak yang cukup baik. Larian berkenaan juga mengeratkan hubungan dalam kalangan ibu bapa selain sebagai aktiviti sihat untuk murid-murid sekolah.
“Murid dan ibu bapa yang menyertai larian tersebut turut menerima medal selain disediakan makanan dan minuman. Yuran penyertaan hanya serendah RM10 dan selebihnya turut dimasukkan dalam tabung sekolah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beliau juga mengucapkan terima kasih dengan kerjasama erat pihak UiTM Perlis yang menyediakan tempat selain menjaga dalam soal aspek keselamatan para peserta.-UTUSAN