Tidak ada padang, SMK Syed Ahmad tetap unggul dalam sukan - Utusan Malaysia

Tidak ada padang, SMK Syed Ahmad tetap unggul dalam sukan

ZAIMAN Megat Abu,23, bekas pelajar SMK Syed Ahmad yang menjalani latihan di sekolah tersebut pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik di Tehran, Iran tahun lalu.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Berlatih hanya di atas jalan tar di kawasan parkir sekolah, malah setiap kali kejohanan olahraga juga hanya diadakan di atas jalan di kawasan sekolah.

Meskipun tidak ada kemudahan padang, namun tidak menghalang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad yang terletak di Tambun Tulang, Arau di sini terus cemerlang di dalam bidang sukan sekali gus mengharumkan nama sekolah berkenaan.

Menariknya, ketika atlet sekolah lain menjalani latihan dalam keadaan lebih selesa di padang, pelajar-pelajar sekolah berkenaan khususnya yang terlibat dengan sukan olahraga hanya berlatih di atas jalan tar di kawasan parkir sekolah tersebut namun ia tidak menghalang mereka untuk mengecapi kejayaan.

Kesungguhan para atlet selain usaha dan komitmen berterusan guru-guru membimbing para pelajar itu, berjaya membawa sekolah yang terletak di pinggir bandar itu muncul naib juara kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2024 baru-baru ini.

PASUKAN olahraga SMK Syed Ahmad yang muncul naib juara kejohanan MSSPs 2024 baru-baru ini.-UTUSAN

Dalam keadaan serba kekurangan, SMK Syed Ahmad juga pernah mencipta sensasi muncul juara kejohanan olahraga MSSPs selama dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.

SMK Syed Ahmad juga sebelum ini berjaya melahirkan atlet pekak dan bisu, Zaiman Megat Abu, 23, yang pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik di Tehran, Iran tahun lalu.

Zaiman Megat menjalani latihan lompat kijang dan lompat jauh dalam keadaan fasiliti serba kekurangan di bawah kendalian jurulatihnya, Sanusi Zainal Abidin,58, di sekolah tersebut namun tidak menghalang remaja berkenaan menempa nama di pentas antarabangsa.

Selain olahraga, SMK Syed Ahmad juga berjaya muncul juara dalam kejohanan bola tampar wanita MSSPs 2024 baru-baru ini selain mengecapi kejayaan dalam beberapa lagi sukan lain termasuk di pentas kebangsaan.

Kejayaan SMK Syed Ahmad khususnya dalam bidang sukan itu wajar dipuji kerana mereka tidak melihat kekurangan sebagai batu penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Pengetua SMK Syed Ahmad, Ismail Md. Nor berkata, meskipun tiada kemudahan padang namun para pelajar menunjukkan kesungguhan untuk bersaing sehingga mengecapi kejayaan.

Katanya, dalam kejohanan olahraga MSSPs 2024 baru-baru ini, SMK Syed berjaya muncul naib juara selepas memperolehi 11 pingat emas, tiga perak dan sembilan gangsa.

Ujarnya, SMK Syed Ahmad juga sebelum pernah muncul juara kejohanan olahraga MSSPs dua tahun berturut-turut pada tahun 2017 dan 2018.

“Antara pingat emas yang kita rangkul dalam kejohanan olahraga MSSPs 2024 baru-baru ini adalah seperti lontar peluru lelaki bawah 18 tahun, 110 meter lompat pagar lelaki bawah 15 tahun, lompat tinggi perempuan bawah 18 tahun, lompat jauh perempuan bawah 18 tahun dan beberapa lagi acara lain,” katanya baru-baru ini.

MESKIPUN tidak ada padang namun sukan tahunan olahraga peringkat sekolah sentiasa berlangsung meriah yang diadakan di atas jalan dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad, Tambun Tulang, Arau, Perlis.-UTUSAN

Tambah Ismail, kebanyakkan para pelajar sekolah berkenaan terdiri daripada golongan B40 dengan rata-rata ibu bapa bekerja sebagai pesawah dan melakukan kerja-kerja kampung.

“Antara pencetus kejayaan kita adalah kerjasama berterusan tanpa mengenai erti putus asa daripada guru-guru dalam membimbing para pelajar luar bandar ini.

“Para pelajar juga sentiasa menunjukkan kesungguhan dan bersemangat untuk berlatih bersama guru dan ada yang mengambil inisiatif tambahan selepas itu dengan menjalani latihan sendiri.

ISMAIL MD. NOR

“Dalam keadaan kita tidak mempunyai kemudahan padang, namun SMK Syed Ahmad tetap berjaya membuktikan kemampuan khususnya dalam sukan olahraga ini,” katanya.

Katanya lagi, walaupun tidak ada padang namun sukan tahunan olahraga peringkat sekolah juga sentiasa berlangsung meriah yang diadakan di dalam kawasan sekolah berkenaan termasuk di dewan untuk acara-acara tertentu.

“Kami tidak ada padang, jadi kita sentiasa mencipta kelainan dengan memanfaatkan ruang yang ada secara kreatif bagi mengadakan sesuatu program ini,” katanya.

Minggu lalu, SMK Syed Ahmad juga mengambil inisiatif tersendiri dan cukup unik dengan mengadakan aktiviti di dalam sungai dengan menganjurkan kayuhan merdeka dan pertandingan perahu panjang sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah itu sekali gus menarik perhatian ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya