Tabung Haji capai 92 peratus CSI bagi pengurusan haji 2024 - Utusan Malaysia

Tabung Haji capai 92 peratus CSI bagi pengurusan haji 2024

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima sembah mengadap Syed Hamadah Syed Othman di Galeri Diraja Arau.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tabung Haji (TH) telah mencapai 92 peratus bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji pada tahun 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, ia menunjukkan peningkatan serta pencapaian yang membanggakan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, meskipun menghadapi beberapa kekangan dan cabaran, namun atas tindakan pantas dan kecekapan TH ianya dapat ditangani dengan baik dan tidak menjejaskan perjalanan haji jemaah Malaysia.

“Institusi ini telah mengambil langkah drastik dan proaktif dalam menambah baik dengan melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan secara menyeluruh terutamanya perancangan pengurusan jemaah dan operasi yang merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, penyediaan makan dan minum serta paling utama sekali, tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku pada musim haji tahun ini.

“TH juga tidak terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran dalam pengurusan para jemaah. Namun atas pendekatan dan tindakan serta kecekapan TH, ianya dapat ditangani dengan baik dan semuanya berjalan dengan lancar,” beliau mempersembahkan maklumkan perkara itu kepada kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis sembah mengadap di Galeri Diraja Arau.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir, Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara, Datuk Mohammad Mokhzani Mokhtar dan Pengarah Tabung Haji Perlis, Burhan Abd Rahman.

Sesi mengadap ini juga merupakan wadah bagi membincangkan kerjasama di antara pihak TH dan MAIPs bagi jangka masa panjang dan pelaksanaan beberapa program dalam masa terdekat.

Delegasi daripada Tabung Haji itu tidak melepaskan peluang untuk mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dalam aktiviti kayuhan amal MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh MAIPs di sekitar pekan Pauh sejurus selepas majlis mengadap tersebut.

Pada musim haji tahun ini baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr.Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan waris kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail telah juga berangkat mengerjakan ibadah haji.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN