KANGAR: Program Semarak Kemerdekaan anjuran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Ghazali Shafie Graduate School Of Goverment (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM), di Kampung Lubok Merbau Pedu di sini berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik.
Program berkenaan yang berbentuk sukaneka dengan permainan tradisional itu dirasmikan oleh Ahli Lembaga Getah Malaysia, Datuk Badrol Hisham Hashim.
Hadir sama, Timbalan Dekan GSGSG UUM, Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis.
“Program sukaneka berbentuk program tradisional itu mengimbau kembali sejarah lama dan erti kemerdekaan.
“Semangat patriotik ini ditunjukkan lagi melalui semangat kesukanan dan ukhwah dalam kalangan belia khususnya. Para peserta turut menerima hadiah selain cabutan bertuah.
“Program itu juga menunjukkan kecaknaan kepimpinan bersama masyarakat seiring dengan slogan Madani Jiwa Merdeka,” kata Kamarul Azman.-UTUSAN