Budaya buli perlu dipandang serius - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Budaya buli perlu dipandang serius – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Penutupan Kem Jati Diri Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Budaya buli dalam masyarakat sama ada buli di sekolah, pusat-pusat pengajian tinggi ataupun di mana-mana sekali pun perlulah diberi perhatian serius.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kes buli memberi kesan yang sangat negatif kepada mangsa dan juga pembuli yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal selain memberi kesan yang buruk di masa depan.

“Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat berperanan dalam memberi teladan kepada anak-anak supaya mereka dapat menyesuaikan diri berdasarkan kepada nilai-nilai murni yang telah diterapkan kepada mereka dari usia muda lagi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kem Jati Diri Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Turut hadir, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Kem tersebut telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah serta ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat yang melibatkan seramai 90 orang pelajar lelaki tingkatan empat terpilih dari sekolah-sekolah menengah di negeri ini pada 3 September sehingga 5 September 2024 lalu.

Objektif program ini adalah bagi membimbing peserta agar dapat menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri dalam diri setiap pelajar, memberi pendedahan berkenaan dengan isu-isu semasa, memperkukuhkan disiplin di kalangan para peserta dan bersemangat patriotik dan cintakan negara.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan Anugerah Peserta Terbaik Keseluruhan kepada Kishsen Rao A/L Sisubalan yang merupakan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat yang telah berbesar hati untuk menaja program ini secara keseluruhanya untuk dua tahun berturut-turut dalam menjayakan kem ini dan berharap agar program seumpama ini dapat menjadi antara platform bagi mengukuhkan jati diri rakyat negeri Perlis yang ‘Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN