SMK Syed Alwi kekal ‘gergasi’ bola sepak, pertahan kejuaraan 11 tahun berturut-turut - Utusan Malaysia

SMK Syed Alwi kekal ‘gergasi’ bola sepak, pertahan kejuaraan 11 tahun berturut-turut

PASUKAN bawah 15 dan 18 tahun SMK Syed Alwi berjaya muncul juara kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2024 yang berlangsung di SMK Dato' Sheikh Ahmad dan SMK Beseri, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi terus kekal sebagai ‘gergasi’ bola sepak negeri ini apabila berjaya mempertahankan kejuaraan bola sepak bawah 15 dan 18 tahun Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2024 buat kali kesebelas berturut-turut.

Bagi kategori bawah 15 tahun yang berlangsung di SMK Dato’ Sheikh Ahmad di sini semalam, SMK Syed Alwi berjaya menewaskan SMK Tengku Sulaiman dengan jaringan 3-0.

Lebih manis, pemain SMK Syed Alwi, Muhammad Danish Haikal Arwan telah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan selain penjaga gol terbaik kejohanan juga menjadi milik pemain dari sekolah berkenaan, Muhammad Haziq Zaharin.

SMK Syed Alwi terus cemerlang apabila turut mempertahankan kejuaraan bagi kategori bawah 18 tahun selepas berjaya menewaskan SMK Agama Arau 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di SMK Beseri.

Pemain dari SMK Syed Alwi, Muhammad Hazril Balqiez juga telah dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala Muhammad Aqil Fuad penjaga gol terbaik kejohanan.

Pengetuanya, Saniyah Abdullah berkata, kejayaan berganda itu datang daripada usaha dan penat lelah kesemua barisan kejurulatihan serta para pemain sekolah berkenaan.

Beliau juga berharap agar kejayaan tersebut akan dapat dikekalkan pada tahun hadapan.

Bagi ketua jurulatih SMK Syed Alwi, Mohd Annif Mat Aman pula berkata, dia cukup bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain sekali gus berjaya mengekalkan kejuaraan buat tahun kesebelas berturut-turut.

“Terima kasih kepada semua barisan pentadbir dan barisan kejurulatihan terdiri daripada Nor Afizan Abd Aziz, Wan Mohd Izwan,Rafi Ibrahim,Mohd Hafizal Musa ,Muhammad Sabri Abd Rahman dan Badrul Hisyam Ramli,” katanya.

Bagi pengurus pasukan, Mohamad Nor Khairi dan Hassan Padli, kemenangan berganda tersebut merupakan kejayaan seluruh warga sekolah SMK Syed Alwi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN