Pemangku Raja Perlis harap potensi pelaburan Perlis dapat diperkenal ke Jerman - Utusan Malaysia

Pemangku Raja Perlis harap potensi pelaburan Perlis dapat diperkenal ke Jerman

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan mengadakan pertemuan bersama Adina Kamarudin di Fairy Le Phenomenal Café, Kangar, Perlis, baru-baru ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar potensi pelaburan di negeri ini akan dapat diperkenalkan ke negara luar seperti Jerman.

Perkara itu dinyatakan sewaktu baginda berkenan menerima mengadap Duta Besar Malaysia ke Jerman, PYT Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin di Fairy Le Phenomenal Café, di sini, baru-baru ini.

Titah baginda, terdapat beberapa potensi pelaburan di Perlis antaranya seperti sektor pelancongan, industri, pertanian, kuari dan perlombongan.

“Selain daripada itu potensi lain adalah seperti logistik, pendidikan dan latihan, teknologi hijau serta perikanan,” titah baginda.

Hadir sama dalam pertemuan itu adalah suami Adina, Mahzan Abdul Samad, bersama anaknya, Muhammad Aqeel Rasikh Mahzan dan Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn Bhd, Datuk Nellsen Young.

Menerusi pertemuan itu, satu rangka promosi masakan Perlis turut dipertimbangkan dilaksanakan di Berlin dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Dalam kunjungannya selama dua hari ke Perlis, Adina turut berkesempatan melawat beberapa lokasi berpotensi dalam pelaburan terdapat di negeri ini.

Antara yang dilawati adalah seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Superfruits Valley di Chuping dan kawasan komersil Kangar Jaya.

Di samping itu, beliau turut mengadakan kunjungan sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya