Pemangku Raja Perlis berkenan bertemu QC, perkenal potensi negeri sempena TMPs - Utusan Malaysia

Pemangku Raja Perlis berkenan bertemu QC, perkenal potensi negeri sempena TMPs

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan mengadakan pertemuan dengan wakil Qatar Chamber (QC) di Doha, Qatar, baru-baru ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan pertemuan dengan pihak Qatar Chamber (QC) di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut diadakan sewaktu baginda singgah dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengetuai Lawatan Khas Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Nigeria.

Ketibaan Tuanku Syed Faizuddin diiringi sama anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Charge D’Affaires di Keduataan Malaysia Doha, Maryam Masyitah Ahmad Termizi.

Untuk rekod, Qatar Chamber merupakan Dewan Perniagaan negara tersebut yang diketuai oleh Naib Pengerusi Pertama, Mohammed Ahmed Twar Al Kuwari.

Menerusi pertemuan itu, baginda dan delegasi berkesempatan memperkenalkan peluang, potensi pelaburan serta beberapa insentif yang ditawarkan di Perlis.

Di samping itu, baginda turut mengalu-alukan ahli perniagaan Qatar melawat ke Perlis bagi melihat sendiri keindahan negeri ini yang ‘Damai dan Menawan’ bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs).

Selepas pertemuan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan meluangkan masa dengan Al Faizal Holdings, Al Jameel Showroom dan beberapa orang wakil daripada The Malaysian Association of Qatar (MAQ) dalam sesi berasingan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN