KANGAR: Semua organisasi Islam perlu sentiasa menggembleng tenaga dan usaha dalam bersama-sama memberikan khidmat kepada ummah.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha penyatuan berasaskan matlamat kolaborasi sejagat adalah sejajar dengan hasrat penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Titah baginda, OIC merupakan sebuah organisasi global yang menghimpunkan 57 negara majoriti Muslim untuk menggalakkan kerjasama, persefahaman bersama dan tindakan kolektif terhadap isu-isu melibatkan dunia Islam.
“Pelbagai organisasi Islam haruslah memberi bantuan kepada umat Islam yang terjejas akibat bencana alam, konflik dan krisis ekonomi di samping menjalankan penyelidikan tentang isu-isu Islam, mempromosikan pendidikan Islam, serta menyediakan biasiswa kepada pelajar Islam,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas mengakhiri misi lawatan khas Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Nigeria, baru-baru ini.
Terdahulu, baginda turut berkenan menerima jemputan Sultan Sokoto Nigeria dan mengikuti pelaksanaan program jaringan antarabangsa di negara Nigeria dan Namibia.
Turut mengiring baginda adalah anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sebelum berangkat pulang, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan Ibnu Sabil berjumlah RM5,000 bagi membantu rakyat Malaysia yang berhadapan situasi sukar dan kecemasan di Nigeria.
Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, TYT Aiyub Omar bersama-sama Kaunselor, Sharmini Devi Gopal dan Setiausaha Ketiga, Sharifah Hazwani Balqis Syed Mohd Zawawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe, Abuja, Nigeria.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara bidang kerjasama melibatkan pelbagai agensi dan organisasi Islam sejagat yang wajar diterokai adalah seperti bantuan kemanusiaan, pendidikan dan penyelidikan, dialog antara agama, kebajikan sosial, ekonomi dan kemakmuran bersama.
Baginda turut menyarankan agar sesi dialog dan penerangan dapat dilaksanakan bagi menggalakkan persefahaman dan saling menghormati di samping menyediakan perkhidmatan sosial seperti penjagaan kesihatan, tempat tinggal serta makanan.
“Selain itu, inisiatif ke arah memperteguh ekonomi dan kemakmuran bersama juga perlu lebih aktif dilaksanakan,” titah baginda.-UTUSAN