KANGAR: Kira-kira 100 peserta khususnya dalam kalangan pengamal media negeri ini teruja menyertai acara menembak di Kompleks Lapang Sasar Menembak Genting Kabu, Sungai Batu Pahat di sini, semalam.
Karnival Sukan Media Media 2.0 yang kali ini mengenengahkan acara menembak itu turut disertai dalam kalangan warga unit komunikasi korporat pejabat Setiausaha Kerajaan negeri, unit penerangan negeri Perlis dan warga kerja Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis.
Karnival sukan bermula pukul 2.30 sehingga 7 petang itu dianjurkan MSN Perlis dengan kerjasama Persatuan Wartawan Perlis (PWP).
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak yang turut sama menunjukkan bakat menembak di lapang sasar itu.
Mohd. Shukri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara berkenaan.
Penganjuran program itu adalah bertujuan bagi merapatkan hubungan silaturahim dan memperkenalkan sukan menembak kepada ahli PWP dan pengamal media Perlis.
Karnival Sukan Media 2.0 yang menghimpunkan pengamal media itu juga bertujuan bagi berkongsikan berkenaan persiapan dan persediaan kontijen Perlis sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.
Seorang pengamal media, Sukairi Azwar Kadir berkata, di pertama kali menyertai aktiviti menembak yang memberi pengalaman menarik.
Katanya, meskipun pertama kali, namun dia beberapa kali berjaya menembak menepati sasaran sekali gus berjaya membantu kumpulan menjuarai acara berkenaan.
“Pada mulanya agak susah namun apabila sudah mengetahui teknik menembak yang betul membuatkan aktiviti ini cukup menerujakan,” katanya.-UTUSAN