Pemangku Raja Perlis berkenan ikuti lawatan khas ke Nigeria - Utusan Malaysia

Pemangku Raja Perlis berkenan ikuti lawatan khas ke Nigeria

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan mengadakan lawatan khas selama tiga hari ke Abuja, Nigeria, baru-baru ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Abuja, Nigeria bersempena lawatan khas selama tiga hari ke negara berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.

Menerusi lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin akan mengetuai delegasi Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk berkunjung ke negara berkenaan.

Ketibaan baginda disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria Aiyub Omar, Kaunselor Sharmini Devi Gopal serta Setiausaha Ketiga, Balqis Hazwani di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe, Abuja.

Mengiringi baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam lawatan itu, baginda turut berkenaan berangkat merasmikan Syarahan Umum Antarabangsa bertajuk ‘Kesan Negatif Hadis Tidak Sahih Terhadap Imej Islam’ yang berlangsung di Pusat Pengajian Islam University of Abuja.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan berangkat ke Restoran Cilantro di Ibrahim Babangida Boulevard, Maitama, Abuja bagi melancarkan Promosi Masakan Perlis yang melibatkan demonstrasi masakan Kurma Daging Perlis.

Baginda juga berkenan memenuhi jemputan menghadiri Santapan Malam Bersama Rakyat Malaysia dan rakan-rakan Malaysia di Nigeria yang dihoskan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja.

Ketika di Nigeria, baginda turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Negeri Sokoto, Alhaji Muhammad Sa’ad Abubakar yang juga merupakan Presiden Jeneral Majlis Tertinggi bagi Hal Ehwal Islam Negara Nigeria (NSCIA) dan Jama’atil Nasril Islam (JNI) di Istana Minanata, Sokoto.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN