KANGAR: Para pelajar perlu melengkapkan diri dengan memantapkan kemahiran insaniah dan berasaskan pengetahuan serta teknikal yang diperlukan dalam setiap bidang yang dipilih.
ia penting agar mampu bersaing dalam bidang kerjaya kelak.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perubahan dalam dunia pekerjaan masa kini memerlukan seseorang untuk memiliki kesediaan sebelum meneroka dan menceburi pasaran kerja.
“Hal ini dapat membantu pelajar dalam mendepani fasa peralihan dari alam persekolahan ke menara gading dan seterusnya ke alam pekerjaan nanti,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian Dan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Majlis itu dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri sebagai penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Cemerlang YTSP Perlis kepada Ang Kai Xuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma yang memperolehi 9A+, 1A dan 1A- serta Nur Aimi Syafariesya Mohamad Musa juga dari SMK Derma dengan keputusan 6A+ dan 3A bagi SPM 2023.
Penerima Anugerah Kepujian YTSP Perlis pula adalah Kelly Chen Xin Yee dari SMK Derma dengan keputusan 10A+ dan 1A, Mok Qin Shen, dari SMK Dato’ Sheikh Ahmad, 9A+ dan 1A, Nur Alya Sufia Mohd Farizan dari SMK Agama (P) Alawiyah Kangar, 5A+, 5A dan 1A-.
Dua lagi penerima anugerah kepujian adalah Ameerul Naim Kharil Anuar dari SMK Agama Arau memperolehi 4A+, 5A dan 3A- serta Cheng Wen An dari SMK Perlis dengan keputusan 7A+ dan 3A.
Setiap pelajar menerima plak penghargaan, sijil dan wang tunai sebanyak RM500 dan RM1,000 bagi anugerah terbabit.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Sijil Pelantikan Ahli Lembaga YTSP Perlis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen pula berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada 28 orang penerima Anugerah Khas YTSP Perlis yang menerima sijil dan wang tunai sebanyak RM300.-UTUSAN