BIDOR: Gading Kencana Sdn. Bhd. baru-baru ini mengadakan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Dr. Rabaayah Daud di ladang solar di Bidor, Perak.
Ini adalah kali pertama ia dianjurkan oleh syarikat tersebut sebagai usaha mempromosi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja selain menerapkan budaya kerja selamat dalam kalangan pekerja.
Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menerapkan budaya dan persekitaran kerja yang selamat bagi pekerja dan juga kontraktor serta pelawat yang berurusan di premis mereka.
“Bagi memantau tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) ditempat kami, pihak pengurusan Gading Kencana telah memutuskan untuk melaksanakan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan.
“Keberkesanan pelaksanaannya telah disahkan oleh Badan Pensijilan sebagai pihak ketiga yang menilai.
“Bermula tahun 2012 Gading kencana telah memperolehi pengiktirafan pensijilan Sistem Pengurusan KKP OHSAS 18001 dan seterusnya ‘migrate’ kepada ISO 45001 pada tahun 2018,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Katanya, dengan pelaksanaan sistem pengurusan KKP, meeka memastikan kakitangan dan subkontraktor yang bekerja mestilah orang yang mahir .
Sebagai contoh katanya, mahir dalam melakukan kerja di tempat tinggi, bekerja di ruang terkurung, sebagai juruelektrik dan mahir dalam kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan khususnya Ladang solar.
“Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memastikan KKP menjadi budaya kerja dan sekaligus mematuhi keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan /OSHA,” katanya.– UTUSAN