MAIPs, MUIS kerjasama tingkat kecekapan pengurusan hal ehwal Islam - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

MAIPs, MUIS kerjasama tingkat kecekapan pengurusan hal ehwal Islam – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan mengadakan pertemuan bersama Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Singapura, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerjasama dalam meningkatkan kecekapan pengurusan hal ehwal agama Islam masing-masing.

Pemangku Raja Perlis, Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kedua-dua pihak telah bersetuju bagi menjalinkan kerjasama berkenaan yang diharap dapat meningkatkan perkhidmatan buat masyarakat selepas ini.

“Pelbagai kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oleh kedua belah pihak adalah diharapkan dapat memberikan impak berganda dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekali gus meninggikan lagi syiar Islam,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Kesihatan Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Singapura baru-baru ini.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan bertemu Masagos Zulkifli yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Muslim Singapura bagi membincangkan fokus dalam mempereratkan jalinan kerjasama sedia ada antara MAIPs dan MUIS.

Turut sama dalam perbincangan tertutup itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor bersama rakan sejawat beliau, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen.

Pertemuan selama hampir dua jam itu membincangkan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal umat Islam kontemporari, selain beberapa cadangan kerjasama bagi berkongsi kemakmuran antara kedua belah pihak yang bertanggungjawab memberikan panduan dan bimbingan kepada masyarakat Muslim.

Dalam sesi berkenaan, Masagos Zulkifli turut memberi penekanan tentang kepentingan ilmuan Islam memahami konteks semasa dan latar belakang masyarakat setempat agar sesuatu pengajaran agama yang disampaikan kekal relevan untuk dilaksanakan.

Selain itu, Mohd Nazim ketika mengulas berkata, pihaknya komited untuk menerokai aspek-aspek kerjasama yang berpotensi untuk dikembangkan terutama dalam aspek pengukuhan organisasi dan strategi.

“Sudah semestinya sebagai sebuah organisasi yang berwibawa, MAIPs dan MUIS mempunyai banyak persamaan dari sudut fungsi dan peranan. Banyak hal boleh dipelajari terutama dalam aspek perbezaan suasana dan konteks latar belakang masyarakat yang diberikan perkhidmatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya