KANGAR: Hubungan perdagangan di antara Wilayah Satun yang terletak di Thailand bersempadan dengan Perlis perlu terus dipertingkatkan khususnya dalam sektor pelancongan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerjasama dua hala lebih erat secara tidak langsung mampu menawarkan lebih banyak peluang-peluang menjana ekonomi termasuklah pekerjaan kepada rakyat kedua-dua kawasan terbabit.
Titah baginda, Jaluran pengangkutan darat yang baik juga merupakan antara faktor yang memudahkan lagi kerjasama ini bagi memastikan sebarang urusan perdagangan dan pengedaran berjalan dengan lancar.
“Selain daripada itu, terdapat ikatan tali persaudaraan dan kekeluargaan yang cukup banyak di antara penduduk Perlis dan Wilayah Satun sebelum ini.
“Selain daripada itu, terdapat masyarakat Satun yang boleh berbahasa Melayu dan rakyat Perlis yang boleh bercakap dalam Bahasa Thailand yang merupakan antara faktor keunikan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya,” titah baginda selepas berkenan berangkat ke Satun, Thailand bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Che Nor Muhibbah Che Abdullah Langputeh baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Allahyarhamah ialah ibu kepada Datin Nuranee Pitisatetapan dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Almarhumah Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail.
Che Nor Muhibbah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 90 tahun.
Nuranee merupakan isteri kepada Datuk Pichate Pitisatetapan yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Region 9 Polis Diraja Thailand dan juga merupakan penasihat bagi salah sebuah Jawatankuasa Kecil dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Beliau memainkan peranan besar membantu dalam hubungan baik MAIPs-Thailand.
Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen menzahirkan ucapan takziah dan baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.-UTUSAN