MAHASISWA mampu memainkan peranan dalam mengukuhkan program pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
Inisiatif itu boleh digerakkan menerusi Modul Kepimpinan Profesional (MKP) oleh Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Seramai 60 pemimpin mahasiswa menyertai MKP Siri 1/2024 yang diadakan di Setiu, Terengganu pada 19 hingga 22 April lalu.
Platform itu membolehkan mereka mengenal pasti keperluan masyarakat setempat melalui kajian lapangan di sekitar kampung pelancongan iaitu di Kampung Mangkuk, Kampung Baru Penarik dan Kampung Langkap di Ulu Kasar.
Malah, mereka turut didedahkan dengan aktiviti-aktiviti CBT antaranya perusahaan keropok Mokku, Rumah Botol, Rumah Tok @Wetlands School of Setiu yang turut menghasilkan pati minyak Gelam, Setiu Wetlands Eco Tourism, Bangsal Wau Kampung Baru Penarik dan Pancaran Delima.
Ia turut melibatkan aktiviti lasak seperti berkayak dan mendaki di Lata Ulu Kasar di samping kunjungan ke kebun timun dan cili, perusahaan madu kelulut serta berpeluang menangkap belut.
Kajian lapangan ini sekali gus membantu mahasiswa membawa idea baharu dan kekuatan dalam membangunkan CBT.
Sementara itu, Pengarah IKP, Prof. Madya Dr. Alwi Mohd. Yunus berkata, pembentukan kepemimpinan mahasiswa yang holistik sangat penting dan relevan dalam pembangunan generasi masa hadapan.
Justeru beliau menyeru golongan sasar untuk berfikir secara bijak kerana ia adalah asas dalam melahirkan pemimpin bertanggungjawab dan beretika.
“Model pembangunan yang diterapkan amat menitikberatkan pelbagai aspek seperti spiritual, fizikal, pemikiran kritis dan kreatif serta kecergasan,” katanya.
Seorang peserta, Putera Zarzilah Zain Ashari dari Fakulti Undang-Undang berkata, pelaksanaan modul MKP itu berbeza dengan modul kepimpinan lain yang pernah diikuti.
Katanya, pendekatan yang digunakan adalah praktikal dan berorientasikan pembelajaran secara aktif.
Paling penting, usaha itu tidak hanya memberi manfaat kepada komuniti dan mahasiswa, malah mampu menyumbang kepada pembangunan mampan destinasi pelancongan m.
Penulis, Zaiha Ahmad merupakan Koordinator Kemahiran Insaniah IKP, Bahagian HEP UiTM.