PBAPP serah laporan awal insiden paip pecah di Sungai Perai - Utusan Malaysia

PBAPP serah laporan awal insiden paip pecah di Sungai Perai

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) telah menyerahkan laporan awal ‘post mortem’ kepada kerajaan negeri berhubung insiden saluran paip pecah di bawah permukaan air Sungai Perai yang berlaku 18 Disember lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan PBAPP untuk melakukan lima perkara antaranya memantau keadaan saluran paip dasar Sungai Perai yang dibaiki setiap hari sehingga penyelesaian kekal dapat dilaksanakan.

”Dalam kes ini, penyelesaian kekal ialah memasang saluran paip merentasi sungai yang akan disokong oleh struktur di atas permukaan sungai.

”Pelaksanaan penyelesaian kekal ini dengan anggaran kos RM5 juta harus disegerakan untuk disiapkan tahun depan bagi membolehkan pemeriksaan berkala dan mengelakkan perkara berulang,” katanya di sini hari ini.

Kira-kira 200,000 pengguna di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah, 18 Disember lalu.

Menurut Kon Yeow, PBAPP juga telah diarahkan untuk mengesan dan melaporkan lokasi saluran paip bawah permukaan air lain di negeri ini.

Katanya, PBAPP juga harus menjalankan pemeriksaan khusus di dalam air bagi semua saluran paip lain untuk memastikan jika terdapat sebarang bahaya atau risiko kemalangan yang serupa.

Selain itu, tambah beliau, PBAPP juga perlu mengarahkan pasukan pakar untuk memeriksa secara berkala semua saluran paip utama (900mm dan ke atas) yang berada di atas tanah dan meneroka kaedah untuk mengesan potensi kecacatan atau kegagalan semua saluran paip utama yang tertanam (900mm dan ke atas).

”PBAPP juga perlu mempercepatkan penggantian saluran paip utama yang usang (900mm dan ke atas).

”Mereka juga perlu memastikan pemulihan perkhidmatan bekalan air untuk 590,000 pengguna air yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual mulai 10 Januari depan mengikut jadual yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN