ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara kaedah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti kepimpinan di dalam sesebuah organisasi ialah dengan mengadakan sesi latihan secara berterusan untuk membangunkan kemahiran kepimpinan.
Titah baginda, latihan kepimpinan ini adalah penting kepada setiap organisasi.
“Latihan usaha, kos dan masa yang dilaburkan untuk latihan ini adalah berbaloi demi meningkatkan lagi prestasi pekerja dan organisasi masing-masing,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal amal ‘MAIPs Peduli’ anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Seterusnya baginda bertitah, pemimpin dan pekerja juga seharusnya memupuk rasa saling menghormati.
Titah baginda, jika pekerja berasa diri mereka tidak dihormati atau tidak dilayan dengan baik, ia akan mengurangkan motivasi untuk melaksanakan tugas.
“Sekiranya mereka berasa suara mereka didengari atau dihargai, mereka akan lebih bersemangat dan bersungguh semasa bekerja.
“Sungguhpun begitu, pekerja juga perlu mengambil berat dan menghormati setiap arahan dan keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan. Ini bermakna, sikap saling menghormati akan membawa kepada perhubungan harmoni dalam organisasi,” titah baginda.
Pada program kali ini, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah milik asnaf terpilih terdiri daripada Embon Mohammad, 72, Said Hamid, 69,; dan Kosin Ibrahim,67,.
Kesemuanya tinggal di Kampung Padang Keria dan masing-masing menerima RM700 tunai, ‘Kit MAIPs Peduli’ berisi bahan makanan kering dan sekampit beras sumbangan MAIPs.-UTUSAN