Lapan pelajar SSAJ buktikan kemahiran lukis mural - Utusan Malaysia

Lapan pelajar SSAJ buktikan kemahiran lukis mural

PARA pelajar Jurusan Seni Visual, SSAJ membuat lukisan mural di Laman Kreatif Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Lapan pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil (SSAJ) membuktikan kemahiran membuat lukisan mural di Laman Kreatif Kluang, di sini.

Peluang melukis mural yang diberikan oleh Kelab D’Kluang itu tidak disia-siakan dan lukisan mural itu dapat disiapkan dalam tempoh empat hari seperti yang ditetapkan. 

Guru Pembimbing, Norasmawati Zolkipli berkata, pada awalnya mereka ragu-ragu untuk menerima tawaran itu kerana bimbang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Namun, beliau memberi keyakinan kepada para pelajar bimbingannya dan akhirnya  sebuah lukisan yang memaparkan beberapa mercu tanda di bandar tersebut dapat disiapkan sepenuhnya. 

“Antara garapan yang dipaparkan menerusi lukisan mural ini ialah Gunung Lambak, kereta api dan Menara Jam di Dataran Tasik Kluang. 

“Susun atur lukisan pula hasil perbincangan para pelajar yang diketuai Mohd. Jamirul Jamnan,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Menurut Norasmawati, tawaran daripada Kelab D’Kluang itu juga secara tidak langsung sebagai salah satu latihan amali bagi pelajar yang mengambil jurusan seni visual dalam pembelajaran mereka.

Sementara itu, Pengerusi Kelab D’Kluang, Md. Norhalim Md. Amin mengakui kagum dengan kemahiran dan kreativiti para pelajar berkenaan.

Katanya, Laman Kreatif Kluang itu mula dilaksanakan pada April 2016 dan memerlukan banyak lagi lukisan mural di dinding-dinding belakang kedai yang masih kosong.

“Sebagai usaha untuk mempelbagaikan lukisan mural di Laman Kreatif ini,  Kelab D’Kluang akan terus bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) untuk mendapatkan para pelukis muda, khususnya pelajar untuk mengabadikan kemahiran masing-masing. 

“Apa yang diharapkan dengan adanya lukisan itu nanti akan mampu menggamit pelancong dari luar daerah dan negeri ini untuk datang ke sini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya