PASUKAN T1 FC dan PDSK A dari Pahang masing-masing mengungguli kategori bawah 10 dan lapan tahun Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah ‘The Silent Killer Cup 2023′ di Padang Bola Sepak Kampung Rawai, Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Pasukan T1 FC menewaskan Meeyang Rovers C dari Terengganu untuk merangkul gelaran juara bagi kategori bawah 10 tahun kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Rawai Football (SRFC) itu.
Kategori bawah lapan tahun pula menyaksikan pasukan PDSK A menumpaskan Panglima Kidz dari Perak dalam perlawanan akhir yang sengit.
Kejohanan julung kali anjuran SRFC itu berlangsung meriah dengan lebih 1,000 pemain, jurulatih, ahli keluarga dan peminat membanjiri Padang Bola Sepak Kampung Rawai sepanjang kejohanan berlangsung.
Bekas penyerang Terengganu FC (TFC) dan pasukan kebangsaan, Ashari Samsudin yang mendapat julukan The Silent Killer adalah penaung kejohanan berkenaan. – UTUSAN