PELAJAR Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan program keselamatan dan kesedaran awam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Pudu, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut jurucakap program, Safie Basha Ali Basha, program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dang Wangi dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Dang Wangi.
Jelasnya, kesemua agensi kerajaan terlibat memberi penerangan tentang aspek keselamatan, memberi kefahaman tanggungjawab bersama serta persediaan langkah-langkah pencegahan kebakaran dan ancaman jenayah dan dadah kepada pelajar.
Program turut dihadiri Pengarah Program Keselamatan dan Kesedaran Awam 2023, L.Logeswaran; Pengetua SMK Perempuan Pudu, Liow Miin Yi dan wakil-wakil agensi terlibat. – UTUSAN