SERAMAI 38 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar menyantuni anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa di Puchong, Selangor.
Antara program yang dilaksanakan ialah sesi ramah mesra melalui bentuk permainan yang menghiburkan bersama 55 penghuni dalam kalangan usia tiga tahun hingga 17 tahun.
Menurut Pengetua MRSM Sungai Besar, Shahariman Abdul Rahman, pihaknya turut menyampaikan sejumlah 60 naskhah al-Quran, wang tunai dan barangan keperluan dapur serta kelengkapan diri.
“Aktiviti seumpama ini mampu menceriakan mereka dan mendidik para pelajar supaya saling membantu dan menghargai golongan kurang bernasib baik,” katanya baru-baru ini. – UTUSAN